fb fb fb fb fb

Palestin memperingati wartawan terkorban di Gaza

Wartawan Palestin berkumpul mengingati rakan mereka yang terkorban ketika bertugas di Gaza/AFP

RAMALLAH, 8 Oktober - Wartawan Palestin dan pegawai tempatan berhimpun di Ramallah, Tebing Barat bagi membantah serangan Israel terhadap petugas media di Gaza.

Puluhan wartawan dan pegawai Palestin berarak menuju ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di bandar itu, sambil mengusung keranda simbolik yang tertera nama dan gambar wartawan terbunuh di Gaza sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023.

“Setiap seorang daripada mereka mempunyai kisah tersendiri,” kata Ketua Kesatuan Wartawan Palestin Nasser Abu Baker, yang menganjurkan perhimpunan itu.

Antara nama yang dipaparkan ialah wartawan Al Jazeera di Gaza, Anas Al-Sharif yang terbunuh pada Ogos lalu, akibat serangan udara Israel di luar Hospital Al-Shifa.

PBB dan kumpulan media antarabangsa mengecam keras pembunuhan Al-Sharif.

Abu Baker berkata beliau akan menyerahkan surat kepada wakil PBB di Ramallah bagi meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mengambil tindakan untuk melindungi wartawan Palestin di Gaza.

“Setiap hari mereka berada dalam keadaan bahaya terdedah dengan tembakan dan serangan bom.”

Menurut Abu Baker, seramai 252 wartawan Palestin terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Beberapa wartawan masih hilang sejak perang berterusan.

Pengarah media digital Al-Hayat Al-Jadida, Islam Abu Ara berkata keadaan wartawan di Tebing Barat juga semakin meruncing.

“Terdapat sekatan terhadap wartawan di Tebing Barat termasuk serangan oleh peneroka dan tekanan daripada tentera Israel,” katanya. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ