fb fb fb fb fb

Operasi buru lelaki tembak mati polis di Australia masuk hari kedua

Suspek, Dezi Freeman, 56 tahun didakwa melepaskan tembakan ke arah pasukan polis, menyebabkan seorang detektif berusia 59 tahun dan seorang konstabel kanan berusia 35 tahun terbunuh, manakala seorang lagi detektif parah, sebelum melarikan diri ke kawasan hutan tebal

SYDNEY, 27 Ogos - Operasi memburu seorang lelaki bersenjata berat di kawasan hutan pergunungan terpencil Australia memasuki hari kedua pada Rabu, selepas suspek didakwa menembak mati dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi ketika mereka menjalankan waran geledah di kediamannya di negeri Victoria.

Polis Victoria mengenal pasti suspek sebagai Dezi Freeman, 56 tahun, seorang penduduk tempatan yang mahir dengan teknik bertahan hidup di hutan serta memiliki beberapa senjata api berkuasa tinggi.

“Boleh saya sahkan suspek insiden mengerikan ini masih bebas,” kata Ketua Pesuruhjaya Polis Victoria, Mike Bush pada sidang media, sambil menegaskan operasi memburu akan diteruskan sehingga Freeman diberkas.

Kejadian berlaku Selasa lalu apabila sekumpulan 10 anggota polis, termasuk pasukan siasatan kesalahan seksual dan jenayah kanak-kanak, tiba di kediaman Freeman di Porepunkah, kira-kira 300 kilometer timur laut Melbourne, untuk melaksanakan waran geledah.

Suspek, yang turut dikenali sebagai “Filby”, didakwa melepaskan tembakan ke arah pasukan polis, menyebabkan seorang detektif berusia 59 tahun dan seorang konstabel kanan berusia 35 tahun terbunuh, manakala seorang lagi detektif parah, sebelum melarikan diri ke kawasan hutan tebal.

Polis memaklumkan pasangan dan anak-anak Freeman telah ditemui dalam keadaan selamat selepas timbul spekulasi mereka dijadikan tebusan.

Porepunkah, sebuah pekan kecil dengan kira-kira 1,000 penduduk di kaki banjaran alpine Australia, kini berada dalam kawalan ketat.

Bush berkata keadaan cuaca sejuk musim sejuk menyukarkan operasi, selain memberi kelebihan kepada Freeman yang sangat arif dengan kawasan berkenaan.

Media tempatan melaporkan Freeman dipercayai seorang “sovereign citizen” yang tidak mengiktiraf kerajaan sebagai sah. Dokumen mahkamah turut menunjukkan Freeman pernah menentang sekatan COVID-19 serta cuba mendakwa bekas Perdana Menteri Negeri Victoria, Dan Andrews, atas tuduhan pengkhianatan dan penipuan pada 2021.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE