fb fb fb fb fb

OpenAI umum kerjasama strategik dengan Spotify, Zillow & Mattel

Foto hiasan / AFP

SAN FRANCISCO, 7 Oktober -OpenAI mengumumkan kerjasama strategik dengan Spotify, Zillow dan Mattel bagi memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perusahaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman berkata, fokus baharu kini tertumpu kepada pasaran perniagaan selepas kejayaan besar ChatGPT dalam kalangan pengguna.

“Mulai sekarang, kami akan benar-benar memberi tumpuan untuk memperkukuh pasaran perusahaan,” katanya.

Pada Persidangan Pembangun OpenAI di San Francisco, syarikat itu turut memperkenalkan alat baharu yang membolehkan aplikasi luar disambung terus ke ChatGPT.

Ia bagi membolehkan fungsi seperti menjana senarai main di Spotify atau menapis hartanah di Zillow.

Ketua ChatGPT, Nick Turley berkata, aplikasi itu akan berkembang menjadi platform utama pelbagai perkhidmatan.

“Dalam tempoh enam bulan akan datang, ChatGPT akan berubah daripada sekadar aplikasi menjadi seperti sistem operasi,” katanya.

Pengumuman itu mendorong kenaikan saham rakan kongsi seperti Zillow, Figma dan AMD, yang baru menandatangani perjanjian membekalkan cip kepada OpenAI.

Presiden OpenAI, Greg Brockman menegaskan, syarikatnya komited membangunkan platform AI terbaik untuk kegunaan perniagaan.

Spotify pula menegaskan data pengguna tidak akan dikongsi dengan OpenAI bagi tujuan latihan model.

Altman berkata OpenAI kini bersedia menembusi pasaran perusahaan selepas model AI mereka mencapai tahap kematangan diperlukan. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN