CIUDAD JUAREZ, 7 Oktober -Sekumpulan migran di Mexico menggantung mangga di jambatan pejalan kaki berhadapan Konsulat Amerika Syarikat (AS) sebagai simbol kejayaan memperoleh dokumen imigresen selepas bertahun-tahun menunggu.
Raul Soto, antara migran yang meraikan hari bermakna itu berkata, keluarganya akhirnya mendapat status penduduk selepas empat tahun berusaha mendapatkan dokumen berkenaan.
“Kami sudah lama menanti hari ini. Lebih bermakna apabila anak saya menerima taraf penduduk tetap pada hari lahirnya.
Tindakan menggantung mangga itu sebagai tanda kesyukuran kepada bandar Juarez dan pihak konsulat yang membolehkan keluarga saya bersatu semula,” katanya.
Tradisi menggantung mangga di jambatan berkenaan menjadi fenomena dan kini semakin berkembang dalam kalangan migran.
Lebih-lebih lagi, ia sebagai lambang kemenangan bagi mereka yang berjaya melepasi proses imigresen yang semakin ketat bawah pentadbiran Presiden Donald Trump
Ratusan mangga tertera mesej seperti ‘Sí se pudo’ (Ya, kami berjaya) serta nama pemilik masing-masing.
Seorang lagi migran, Elizabeth memaklumkan, perasaan sedih dan gembira bercampur apabila akhirnya memperoleh kebenaran untuk berpindah ke AS selepas tempoh penantian yang panjang.
“Kesedihan dan kegembiraan datang serentak. Kami sudah menempuh pelbagai cabaran, dan kini kami pergi dengan perasaan bangga,” katanya. -REUTERS