ATHENS, 7 Oktober- Aktivis Alam Sekitar, Greta Thunberg bersama 160 aktivis Global Sumud Flotila (GSF) dari pelbagai negara, selamat mendarat di Greece.
Ketibaan mereka disambut ramai aktivis di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens. Greta ketika ditemui berkata, misi GSF merupakan percubaan terbesarnya untuk memecahkan kepungan haram dan tidak berperikemanusiaan Israel melalui jalan air.
Dia juga menggesa pemimpin dunia agar bertindak dan menghalang kegiatan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
Dalam pada itu, beberapa aktivis mendakwa dilayan kasar semasa ditahan tentera Zionis. Menurut ahli Parlimen Eropah, Rima Hassan, beliau dipukul oleh polis Israel ketika ditahan.
Manakala ahli Jawatankuasa Flotila, Yasmin Acar, pula mendedahkan mereka tidak diberi bekalan air bersih, makanan dan dilayan seperti pengganas. Mereka juga ditempatkan didalam sel yang sesak termasuk diserang secara fizikal.
Sementara itu Kementerian Luar Bratislava mengesahkan seorang warga Slovakia bersama sembilan orang yang lain telah melakukan perjalanan ke negara masing-masing.
Minggu lalu kesemua 47 kapal yang menjalankan misi kemanusiaan ke Gaza itu dipintas Zionis. Lebih 470 aktivis ditahan sebelum dibebaskan secara berperingkat bermula Sabtu lepas.
Masih terdapat hampir 140 peserta GSF masih ditahan termasuk 13 daripadanya merupakan rakyat Brazil.
Presidennya, Luis Inacio Lula da Silva menggesa pihak rejim supaya segera membebaskan rakyatnya.
Lula menambah, Israel secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa selepas menahan misi Flotilla. -AFP