fb fb fb fb fb

Kekurangan dana paksa UNHCR buang 5,000 pekerja

Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian / AFP

GENEVA, 7 Oktober -Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) terpaksa memberhentikan hampir 5,000 pekerja tahun ini susulan pemotongan besar-besaran bantuan antarabangsa.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi menyifatkan, langkah itu berpunca daripada “keputusan politik yang membawa bencana”.

Ia termasuk pengurangan dana oleh Amerika Syarikat (AS) bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

"Pemotongan berjumlah lebih AS$1 bilion itu menjejaskan lebih satu perempat tenaga kerja UNHCR dan memaksa penamatan beberapa program penting.

Sekolah ditutup, bantuan makanan dikurangkan dan bantuan tunai dihentikan. Inilah akibatnya apabila dana dipotong secara mendadak,” kata Grandi.

Beliau turut menegaskan, pengurangan dana menyebabkan usaha mencegah keganasan terhadap wanita, bantuan psikososial dan proses pemindahan pelarian ke negara ketiga turut tergendala.

AS sebelum ini menyumbang lebih 40 peratus bajet UNHCR, namun pengunduran dan penjimatan oleh penderma lain menjadikan keadaan kewangan agensi itu “amat suram”.

Grandi berkata, bajet 2025 berjumlah AS$10.6 bilion, tetapi agensi hanya dijangka menerima sekitar AS$3.9 bilion iaitu penurunan AS$1.3 bilion berbanding tahun lalu.

Sementara itu, wakil Amerika Syarikat ke PBB, Tressa Rae Finerty mempertahankan langkah negaranya dengan mendakwa Washington telah menanggung bahagian kos yang tidak seimbang.

Beliau turut menyalahkan peningkatan migrasi ekonomi yang disifatkan sebagai penyalahgunaan sistem suaka dan ancaman terhadap prinsip perlindungan pelarian.

Grandi menegaskan, mencabar prinsip asas 'non-refoulement' adalah kesilapan besar yang hanya akan menambah ketidakstabilan dan memperburuk krisis pelarian global. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN