PORTLAND, 7 Oktober -Sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di luar fasiliti Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di sini, bagi membantah keputusan kerajaan menghantar pasukan Pengawal Kebangsaan ke bandar itu.
Tindakan berkenaan dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang buat sementara waktu menghalang pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menempatkan pasukan tentera tersebut di Portland.
Hakim Daerah AS, Karin Immergut memutuskan, tidak ada bukti yang menunjukkan kehadiran tentera diperlukan, walaupun Trump sebelum ini mengarahkan penempatan 200 anggota Pengawal Kebangsaan Oregon serta pasukan tambahan dari Texas dan California.
Immergut, yang dilantik Trump semasa penggal pertamanya, menegaskan langkah menghantar pasukan tentera ke negeri lain tanpa persetujuan kerajaan tempatan bercanggah dengan prinsip persekutuan negara itu.
Seorang penunjuk perasaan, Daniel Miller, 57, menyifatkan tindakan kerajaan sebagai satu bentuk perang saudara.
“Menolak kehendak kerajaan negeri dan membawa masuk tentera dari negeri lain adalah tindakan seperti perang saudara.
Ia bertentangan dengan hak-hak yang dijamin perlembagaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penunjuk perasaan, Lauren ‘Jazz’ Olsen, 40, dari Eugene berkata, Oregon tidak memerlukan lebih banyak kehadiran tentera.
“Kami sudah pun diserang gas pemedih mata oleh pihak keselamatan tempatan.
Kami tidak perlukan lebih banyak askar. Kami di sini hanyalah orang awam yang terdiri daripada keluarga, remaja dan warga emas,” ujarnya.
Olsen menambah, tujuan mereka hanya untuk mempertahankan rakan-rakan dan menuntut keadilan tanpa kekerasan.
“Kami tidak mahu sesiapa dicederakan atau ditangkap. Rakyat perlu terus bersuara dengan cara aman dan bermaruah,” katanya.
Seorang penunjuk perasaan lain yang enggan dikenali mendakwa pegawai keselamatan di fasiliti ICE kerap menggunakan kekerasan, termasuk menembak peluru lada ke arah orang awam yang tidak melakukan provokasi.
White House dalam pada itu memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut, sambil menegaskan penempatan pasukan Pengawal Kebangsaan adalah bagi memastikan keselamatan awam. -REUTERS