MADRID, 7 Oktober -Kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Sepanyol mendesak Israel segera membebaskan Reyes Rigo, satu-satunya warga dari negara itu yang masih ditahan.
Desakan tersebut dibuat sejurus selepas 27 aktivis lain yang dibebaskan tiba di Lapangan Terbang Madrid semalam.
Aktivis Alejandra Martinez berkata, Rigo hilang selepas ditarik rambut dan dibawa ke kawasan terpencil.
“Kami belum mendapat apa-apa maklumat tentang keadaannya.
Saya mohon kerajaan Sepanyol bantu membawanya pulang,” katanya.
Sementara itu kumpulan berkenaan turut mendakwa dilayan secara kasar ketika dalam tahanan, sama seperti aktivis kumpulan pertama yang pulang ke Madrid sehari sebelumnya.
Kapten kapal flotila, Simon Vidal mendakwa, mereka turut dipukul, dihina dan diseksa sebelum tiba di penjara.
Ahli parti berhaluan kiri Podemos, Lucia Munoz pula menyifatkan, penahanan mereka sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa.
“Kami diculik, dibawa ke Israel tanpa kerelaan dan dipenjarakan selama lima hari,” katanya.
Ahli Parlimen Podemos, Serigne Mbaye, pula menggesa kerajaan Sepanyol mengambil tindakan tegas terhadap Israel.
“Kerajaan mesti memutuskan hubungan dengan Israel yang sedang melakukan genosid.
Setiap jam, setiap hari, rakyat Palestin terus dibunuh,” tegasnya.
Setakat ini, 341 daripada lebih 450 aktivis yang ditahan dalam operasi menyekat flotila bantuan ke Gaza telah dihantar pulang ke negara masing-masing. -REUTERS