fb fb fb fb fb

Aktivis GSF Brazil kongsi detik ngeri selepas dibebaskan Israel

Nicolas Calabrese, Aktivis kemanusiaan Brazil / REUTERS

RIO DE JANEIRO, 7 Oktober -Aktivis kemanusiaan Brazil, Nicolas Calabrese, yang menyertai Global Sumud Flotilla ke Gaza, tiba di Rio de Janeiro pada Isnin selepas dibebaskan oleh Israel.

Calabrese yang juga seorang pensyarah, menceritakan pengalaman ngeri ketika kapal mereka dipintas secara ganas oleh tentera laut rejim Zionis di perairan antarabangsa.

“Lebih 15 tentera Israel menaiki kapal kami dengan senjata. Ramai antara mereka bertopeng seperti pengganas. Mereka bertindak seperti sebuah negara pengganas,” katanya kepada media.

Beliau turut mendakwa semua barangan bantuan kemanusiaan seperti air minuman, makanan bayi dan bekalan makanan lain telah dirampas.

“Mereka merampas semua bantuan dan tidak membenarkan ia sampai kepada penduduk Gaza yang sedang kebuluran,” tambahnya.

Menurut Kedutaan Brazil di Tel Aviv, beberapa aktivis turut melaporkan mengalami tekanan mental, kekurangan makanan serta ketiadaan air bersih ketika ditahan di penjara Ktziot, Gurun Negev.

Setakat ini, 341 aktivis telah dibebaskan daripada keseluruhan 479 peserta GSF yang ditahan. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN