fb fb fb fb fb

Operasi cari mangsa runtuhan sekolah di Indonesia tamat, 67 disahkan maut

Pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa dari lokasi runtuhan sekolah / AFP

SIDOARJO, 7 Oktober -Operasi mencari mangsa runtuhan sekolah agama di Pulau Jawa minggu lalu ditamatkan hari ini dengan jumlah korban terkini meningkat kepada 67 orang.

Menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Mohammad Syafii, pencarian yang memasuki hari kesembilan itu berakhir selepas semua runtuhan dibersihkan dan tiada lagi mangsa ditemui.

“Setelah sembilan hari, kami secara rasmi menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Agensi Bencana Nasional (BNPB), Budi Irawan berkata, hasil pemeriksaan menunjukkan kemungkinan masih ada mangsa di bawah runtuhan adalah sangat kecil.

Setakat ini, hanya 17 mayat berjaya dikenal pasti, menurut Unit Pengenalpastian Mangsa Bencana Polis Indonesia.

Siasatan awal mendapati, struktur binaan yang tidak kukuh dipercayai menjadi punca utama kejadian.

Keluarga mangsa sebelum ini bersetuju dengan penggunaan jentera berat dalam operasi selepas tempoh 72 jam “masa emas” berakhir bagi mempercepat pencarian.

Tragedi itu berlaku pada 29 September lalu apabila sebahagian bangunan sekolah pondok Al Khoziny runtuh ketika lebih 170 pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN