FOTO REUTERS
BEIJING, 14 Januari - Bandar Zhuhai di selatan China menggantung operasi bas awam dan amaran dikeluarkan kepada penduduk supaya tidak meninggalkan bandar selepas tujuh kes positif COVID-19 daripada varian Omicron dikesan pada Jumaat.
Saringan secara besar-besaran dilakukan di bandar pesisir pantai yang bersempadan dengan hab perjudian, Macau itu, susulan kes positif dikenal pasti di bandar bersebelahan, Zhongshan awal minggu lalu.
Daripada tujuh kes positif Omicron di Zhuhai, seorang mengalami gejala ringan manakala enam yang lain tidak bergejala.
China berusaha memerangi wabak COVID-19 termasuk varian Omicron sebagai kesiapsiagaan menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing yang akan berlangsung bulan depan.
Berjuta-juta penduduk di seluruh negara itu telah diarah kekal berada di rumah sejak beberapa minggu lalu dan hanya keluar jika perlu.
Individu yang ingin keluar, dikehendaki mengemukakan keputusan saringan COVID-19 yang negatif dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Penerbangan domestik dibatalkan, manakala perniagaan termasuk salun kecantikan, gimnasium, pawagam dan kilang diarah tutup.
China berjaya mengekalkan kes Covid-19 yang rendah sepanjang pandemik dan melaksanakan strategi saringan secara besar-besaran sekiranya kes positif dikesan.
Bagaimanapun, strategi itu diuji sejak beberapa minggu lalu, apabila Omicron yang tersebar pantas dikesan di bandar pelabuhan Tianjin berhampiran Beijing sebelum merebak ke pusat bandar Anyang.
China melaporkan 104 kes penularan tempatan COVID-19 pada Sabtu. -AFP