JEDDAH, 26 Ogos - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meluluskan resolusi bagi menentang pencerobohan Israel ke atas Palestin dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC ke-21, di sini pada Isnin.
Resolusi itu menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
OIC menegaskan keperluan mendesak untuk membawa pelaku jenayah ke muka pengadilan antarabangsa tanpa berlengah.
Mesyuarat juga menggesa supaya bantuan kemanusiaan segera disalurkan ke Gaza tanpa sebarang sekatan oleh Israel.
OIC menuntut laluan bantuan dibuka sepenuhnya untuk memastikan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas sampai terus kepada rakyat Palestin.
Resolusi turut menekankan bahawa masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa konflik.
Selain itu, mesyuarat menolak sekeras-kerasnya rancangan Israel mengambil alih Gaza secara ketenteraan.
OIC menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan bukti agenda penjajahan kekal Israel.
Resolusi berkenaan juga menegaskan sokongan penuh terhadap hak Palestin menubuhkan negara merdeka dengan Al-Quds sebagai ibu negara.
Mesyuarat menyeru semua negara anggota memperkukuh tekanan diplomatik dan kempen global menentang pencerobohan Israel.
OIC menegaskan solidariti dengan rakyat Palestin mesti diterjemah melalui tindakan bersama yang tegas dan menyeluruh.
Resolusi ini dilihat sebagai pendirian signifikan OIC dalam usaha menamatkan penindasan Israel dan mencapai keadilan untuk Palestin.