fb fb fb fb fb

Trump pecat Gabenor Fed, dakwa buat kenyataan palsu dalam borang gadai janji

Gabenor Rizab Persekutuan (Fed), Lisa Cook / REUTERS

WASHINGTON, 26 Ogos - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertindak memecat Gabenor Rizab Persekutuan (Fed), Lisa Cook berkuat kuasa serta-merta pada Isnin, dengan alasan terdapat dakwaan kenyataan palsu dalam perjanjian gadai janji miliknya.

Trump dalam sepucuk surat kepada Cook berkata beliau merujuk Akta Rizab Persekutuan sebagai asas tindakan itu dan mendakwa wujud alasan yang mencukupi untuk menyingkirkannya.

Seorang presiden AS. lazimnya terhad kuasanya untuk menyingkirkan pegawai bank pusat, dengan keputusan Mahkamah Agung sebelum ini menyatakan pegawai Fed hanya boleh digugurkan atas alasan “bersebab,” termasuk salah laku atau kecuaian tugas.

Namun, Trump merujuk kepada rujukan jenayah bertarikh 15 Ogos daripada Ketua Agensi Kewangan Perumahan Persekutuan (FHFA) sekutu rapatnya kepada Peguam Negara A.S., yang mendakwa Cook mungkin membuat kenyataan palsu dalam satu atau lebih perjanjian gadai janji.

Cook sebelum ini menegaskan dia tidak akan tunduk kepada paksaan untuk meletakkan jawatan, namun bersedia menjawab persoalan mengenai sejarah kewangannya. Fed setakat ini belum memberi maklum balas terhadap pengumuman terkini Trump itu.

Trump dalam surat sama menyatakan, “Sekurang-kurangnya, kelakuan berhubung isu tersebut jelas menunjukkan kecuaian serius dalam urus niaga kewangan sehingga menimbulkan persoalan tentang kecekapan dan kebolehpercayaan anda sebagai pengawal selia kewangan.”

Tindakan Trump memecat Cook, yang juga anggota jawatankuasa penetapan kadar Fed, berlaku selepas serangan berterusannya terhadap Pengerusi Jerome Powell, yang dikritik kerana enggan menurunkan kadar faedah lebih awal meskipun inflasi terkawal.

Sejak Disember lalu, Fed mengekalkan kadar penanda aras pada julat 4.25 hingga 4.50 peratus tahun ini, namun Powell minggu lalu memberi isyarat kemungkinan penurunan kadar pada mesyuarat dasar September.

Cook mula berkhidmat sebagai Gabenor Fed pada Mei 2022 dan dilantik semula pada September 2023 bagi penggal sehingga 2038. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat dalam Majlis Penasihat Ekonomi di bawah pentadbiran bekas presiden Barack Obama.

Pentadbiran Trump turut giat membawa tuduhan penipuan gadai janji terhadap tokoh Demokrat berprofil tinggi yang dianggap sebagai seteru politiknya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE