(Salman Rushdie ketika menghadiri ceramah di Festival Heartland, Denmark pada 2018/FOTO REUTERS)
REUTERS, 24 Oktober - Novelis Salman Rushdie kini buta sebelah mata dan hanya berupaya menggunakan sebelah tangan susulan insiden tikaman di New York, Ogos lepas.
Ejennya, Andrew Wylie memaklumkan, novelis itu turut menderita lebih 15 parut di dadanya akibat serangan berkenaan.
Bagaimanapun Wylie tidak mendedahkan lokasi terkini Salman.
Wylie berkata, penulis buku itu juga mengalami kerosakan saraf di lengan serta luka di hati.
(Salman Rushdie diusung oleh pasukan keselamatan untuk menggunakan helikopter
selepas dia ditikam sebelum ucapannya bermula pada Ogos/FOTO REUTERS)
Dalam serangan pada 13 Ogos, Salman sedang bersedia untuk menyampaikan syarahan di Institusi Chautauqua di barat New York, apabila secara tiba-tiba seorang individu naik ke pentas dan menikam beliau.
Suspek serangan dikenal pasti sebagai Hadi Matar, 24 tahun, dari Fairview, New Jersey, ditahan di lokasi kejadian selepas berlaku pergelutan.
Suspek kemudiannya mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menikam penulis kontroversi itu sebanyak 10 kali semasa dihadapkan ke Mahkamah New York.
Insiden itu dikutuk penulis dan ahli politik di seluruh dunia yang menyifatkan ia serangan ke atas kebebasan bersuara.