NEW YORK, 27 April- Pendakwa raya New York telah memulangkan 30 barang antik ke Kemboja dan Indonesia. Perkara itu disebabkan ianya diperolehi menerusi jualan secara peribadi atau ia dijual secara haram oleh pengedar barangan antik.
Barang antik itu dianggarkan bernilai $3 juta, kata Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg.
Bragg dalam satu kenyataan berkata, beliau telah memulangkan 27 barangan antik ke Phnom Penh dan Jakarta (tiga) baru-baru ini. Ia termasuk gangsa dewa Hindu Shiva ("Shiva Triad") yang diperoleh dari Kemboja dan dua figura diraja yang diperolehi dari Indonesia.
Pengedar seni Subhash Kapoor, seorang India-Amerika, dan Amerika Nancy Wiener dituduh terlibat dalam pemerdagangan haram barang antik.
Kapoor dipercayai menjalankan rangkaian pemerdagangan barangan yang diperolehi dari Asia Tenggara untuk dijual di galeri Manhattan.
Kapoor ditangkap pada 2011 dan dihantar pulang ke India. Dia dibicarakan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun pada November 2022.
Perkara itu sekali gus menjawab dakwaan Amerika Syarikat kerana konspirasi menyeludup karya seni yang dicuri namun Kapoor menafikan tuduhan itu.
"Kami terus menyiasat rangkaian pemerdagangan yang menyasarkan barangan antik Asia Tenggara," kata Bragg dalam kenyataan itu.
"Jelasnya masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan."
Wiener pula dihukum pada 2021 kerana memperdagangkan karya seni yang dicuri kerana menjual Shiva Triad dan mendermakan karya itu kepada Muzium Seni Denver (Colorado) pada 2007.
Barang antik itu dirampas oleh mahkamah New York pada 2023.
Unit Pemerdagangan Barang Antikuiti telah mendapatkan semula hampir 1,200 barangan yang diperolehi dari lebih 25 negara dan bernilai lebih daripada $250 juta.
New York dijadikan hab penyeludupan utama, dan beberapa karya telah dirampas beberapa tahun kebelakangan ini termasuk daripada muzium, Muzium Seni Metropolitan yang berprestij, dan daripada pengumpul.- AFP