fb fb fb fb fb

New South Wales pinda RUU Senjata Api

Seorang lelaki melihat bunga penghormatan di Bondi Beach, Sydney pada 17 Disember 2025, bagi memperingati mangsa tembakan yang berlaku di sana/foto AFP

SYDNEY, 17 Disember – Parlimen New South Wales (NSW) akan bersidang semula pada 22 dan 23 Disember ini untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan senjata api dan perhimpunan awam, susulan serangan tembakan di Bondi Beach, baru-baru ini.

Menurut Premier, Chris Minns, serangan bersenjata pada Ahad lalu (14 Disember), menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan ekstremisme keganasan di negara itu.

Minns berkata kerajaan akan mengemukakan cadangan termasuk mengehadkan bilangan senjata api yang boleh dimiliki oleh individu, mengklasifikasikan semula beberapa jenis senapang, mengurangkan kapasiti magazin (kotak berisi peluru yg digunakan pada senjata api) dan melarang penggunaan magazin berjalur bagi sesetengah senapang.

Selain itu, pihak berkuasa bercadang untuk membuang mekanisme rayuan melalui Tribunal Sivil dan Pentadbiran NSW (NCAT) bagi penarikan lesen senjata api oleh polis.

“Pada masa ini, polis NSW bertindak menarik balik lesen daripada pemilik senjata yang disyaki mendatangkan ancaman kepada masyarakat, tetapi rayuan mereka di NCAT sering membatalkan tindakan polis. Kami akan menutup laluan rayuan itu,” kata Minns.

Beliau juga menegaskan kebimbangan mengenai protes besar-besaran di Sydney yang mungkin mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Tanggungjawab saya sekarang adalah keselamatan dan keharmonian masyarakat. Kita perlu menurunkan suhu ketegangan dan memastikan perhimpunan atau slogan tidak bertukar menjadi ucapan kebencian," tegasnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon, berkata bahawa siasatan di lokasi kejadian masih berjalan dan proses penting perlu diselesaikan sebelum kawasan itu boleh dibuka semula kepada umum.

Tragedi di Bondi Beach mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, manakala 23 individu lagi masih menerima rawatan di hospital-hospital negeri.-REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI