MOSCOW, 17 Disember – Sama ada gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine dapat dicapai dalam masa terdekat bergantung kepada kemampuan kedua-dua pihak untuk mencapai perjanjian damai yang komprehensif dan berterusan, demikian menurut jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Beliau menekankan bahawa Rusia tidak mungkin menyertai sebarang gencatan senjata jika Ukraine hanya mencari penyelesaian jangka pendek yang tidak boleh dilaksanakan, bukannya penyelesaian yang kekal.
“Kami mahukan keamanan. Kami tidak mahu gencatan senjata hanya memberi ruang kepada Ukraine untuk bersedia menyambung perang,” kata Peskov kepada wartawan.
“Kami mahu menghentikan perang ini, mencapai matlamat kami, melindungi kepentingan kami, dan menjamin keamanan di Eropah untuk masa depan," tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, menegaskan bahawa Rusia tidak akan membuat sebarang konsesi mengenai wilayah Donbas atau Crimea, dan perkara ini tidak terbuka untuk rundingan.
Ryabkov juga menolak sebarang cadangan penempatan tentera Barat di Ukraine dalam apa jua bentuk. Beliau menambah bahawa mencapai penyelesaian lestari terhadap krisis Ukraine dan menangani punca konflik akan memerlukan masa yang lama dan sangat sukar.
Di pihak Ukraine, Presiden Volodymyr Zelensky mengumumkan bahawa pasukan rundingan Ukraine akan segera berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) untuk membincangkan lebih lanjut rancangan bagi menamatkan konflik Rusia-Ukraine.
Zelensky pada Isnin menamatkan dua hari perbincangan dengan wakil-wakil AS di Berlin, yang beliau sifatkan sebagai produktif. Perbincangan beliau dengan utusan khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff, dan Jared Kushner, berlangsung beberapa jam pada Ahad dan Isnin.
Dalam Forum Perniagaan Jerman-Ukraine ke-8 di Berlin, Zelensky berkata rundingan dengan pihak AS sentiasa kompleks dan sukar, namun kali ini sangat produktif. Walaupun terdapat perbezaan pendirian, kedua-dua pihak akan terus meneruskan rundingan.
Sekumpulan pemimpin Eropah pada Isnin turut mengadakan perbincangan dengan Zelensky dan wakil AS di Berlin. Selepas mesyuarat itu, pihak Eropah mengeluarkan kenyataan bahawa AS dan pemimpin Eropah komited untuk bersama-sama menyediakan jaminan keselamatan dan sokongan pemulihan ekonomi Ukraine sebagai sebahagian daripada usaha mencapai perjanjian menamatkan konflik Rusia-Ukraine.- REUTERS