fb fb fb fb fb

Klasifikasi semula ganja, tidak jadikan ia sah sepenuhnya di AS

Pengklasifikasian semula ganja dijangka tidak akan banyak mengurangkan percanggahan antara undang-undang negeri dan persekutuan/Foto REUTERS

WASHINGTON, 17 Disember – Cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengklasifikasikan semula ganja sebagai dadah kurang berbahaya, mendapat perhatian pakar undang-undang. Profesor Undang-Undang Universiti Vanderbilt, Robert Mikos, menegaskan langkah itu tidak akan menjadikan ganja sah sepenuhnya di peringkat persekutuan.

Menurut beliau, pengklasifikasian semula ganja tidak akan banyak mengurangkan percanggahan antara undang-undang negeri dan persekutuan.

“Undang-undang persekutuan masih hanya membenarkan pengeluaran dan penjualan bahan terkawal untuk tujuan perubatan. Negeri-negeri yang membenarkan penggunaan rekreasi masih akan bercanggah dengan undang-undang persekutuan,” katanya.

Mikos turut menjelaskan bahawa walaupun dipindahkan ke Jadual III, ganja tetap tidak diluluskan di bawah Akta Makanan, Dadah dan Kosmetik, sekali gus menjadikan penjualan ganja termasuk untuk tujuan perubatan masih menyalahi undang-undang persekutuan.

Namun begitu, pengklasifikasian semula itu boleh memberi kelegaan kewangan besar kepada syarikat ganja. Ia akan menghapuskan peruntukan cukai persekutuan Seksyen 280E yang kini menghalang perniagaan berkaitan dadah Jadual I daripada membuat potongan cukai biasa.

Bagaimanapun, Mikos berkata institusi kewangan dijangka mengambil langkah berhati-hati untuk berurusan dengan industri ganja selagi penjualan bahan itu kekal menyalahi undang-undang persekutuan, sekali gus mengekalkan halangan kepada perbankan, pembiayaan dan pendaftaran tanda dagangan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pertubuhan Kebangsaan Reformasi Undang-Undang Marijuana (NORML), Paul Armentano, berkata Trump tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengklasifikasikan semula ganja.

"Kuasa itu terletak pada Peguam Negara. Presiden hanya boleh mengarahkan agensi berkaitan untuk meneruskan proses tersebut.

"Walaupun tindakan diambil segera, penyelesaian muktamad mungkin mengambil masa beberapa bulan atau lebih lama," katanya.

Terdahulu, Trump Isnin lalu (15 Disember) mengumumkan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan perintah eksekutif bagi mengklasifikasikan semula ganja sebagai dadah kurang berbahaya,

Katanya, pengklasifikasian semula itu sedang diteliti secara serius kerana ia akan membolehkan lebih banyak penyelidikan dijalankan. Satu langkah yang berpotensi mengubah landskap industri kanabis, melonggarkan hukuman jenayah dan membuka ruang kepada penyelidikan bernilai berbilion dolar.

Di bawah Akta Bahan Terkawal Amerika Syarikat, ganja kini diklasifikasikan sebagai Dadah Jadual I, setaraf dengan heroin dan ekstasi, yang dianggap mempunyai potensi penyalahgunaan tinggi serta tiada kegunaan perubatan yang diterima.

Cadangan baharu itu adalah untuk memindahkan ganja ke Jadual III, sama seperti ubat preskripsi seperti ketamin, yang tertakluk kepada kawal selia lebih longgar.-REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI