fb fb fb fb fb

Filipina nafi negara itu dijadikan pusat latihan pengganas

Jurucakap presiden Filipina, Claire Castro/foto AFP

MANILA, 17 Disember – Kerajaan Filipina pada Rabu menegaskan tiada bukti bahawa negara itu digunakan sebagai pusat latihan pengganas.

Ia susulan pendedahan bahawa dua individu di sebalik serangan tembakan di Bondi Beach, Australia, telah menghabiskan bulan November di sebuah pulau di selatan negara itu.

Jurucakap presiden Filipina, Claire Castro, berkata Presiden Ferdinand Marcos Jr. menolak sekeras-kerasnya kenyataan umum dan gambaran mengelirukan yang melabel Filipina sebagai pusat latihan ISIS.

"Tiada sebarang bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan bahawa Filipina digunakan untuk latihan pengganas," katanya dalam satu sidang media, sambil membacakan kenyataan Majlis Keselamatan Negara.

"Tiada laporan yang disahkan atau pengesahan bahawa individu yang terlibat dalam insiden Bondi Beach menerima sebarang bentuk latihan di Filipina," tambahnya.

Pada Selasa, Pejabat Imigresen Filipina mengesahkan bahawa suspek Sajid Akram dan anak lelakinya, Naveed, yang terlibat dalam serangan tembakan di Bondi Beach, Sydney, telah memasuki Filipina pada 1 November dan menuju ke wilayah selatan Davao.

"Kami tidak merekodkan sebarang operasi pengganas besar atau aktiviti latihan sejak awal 2024," kata jurucakap tentera Filipina, Kolonel Francel Padilla, dalam sidang media pagi Rabu.

Seorang lagi pegawai tentera, Kolonel Xerxes Trinidad, berkata lawatan selama sebulan ke Filipina tidak mencukupi untuk menjalani latihan ketenteraan yang bermakna.

"Latihan tidak boleh diperoleh dalam tempoh hanya 30 hari, terutamanya latihan seperti kemahiran menembak," katanya kepada wartawan.-REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI