BAITULMAQDIS, 9 April- Satu tarikh sudah ditetapkan untuk Israel melancarkan serangan darat di Rafah, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam.
Ketika ini, kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berlindung di bandar itu, yang masih belum berdepan serangan darat berskala besar Israel.
Israel mendakwa Rafah antara kubu terakhir Hamas di Gaza.
Bagaimanapun, Netanyahu tidak menyatakan bila pencerobohan akan berlaku tetapi pemimpin itu mengulangi kenyataan, kemenangan ke atas Hamas memerlukan serangan ke Rafah.
"Ia akan berlaku - ada tarikhnya," katanya dalam satu kenyataan video.
Beliau berkata demikian ketika perbincangan di Kaherah mengenai gencatan senjata Gaza dan perjanjian tebusan yang dilihat mempunyai peningkatan.
Netanyahu saat ini sedang ditekan bukan sahaja di negara sendiri malah rakan pakatan sayap kanannya yang didakwa berang pada perbincangan mengenai gencatan senjata dan Israel terpaksa menarik keluar tenteranya dari selatan Gaza, kelmarin.
"Hari ini saya menerima laporan terperinci mengenai rundingan di Kaherah.
"Kami bekerja sepanjang masa untuk mencapai matlamat kami, terutamanya pembebasan semua tebusan kami dan mencapai kemenangan lengkap ke atas Hamas," kata Netanyahu.
White House semalam berkata, perunding di ibu negara Mesir sudah mengemukakan cadangan kepada Hamas bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan perjanjian tebusan.
"Sekarang terpulang kepada Hamas untuk menyelesaikannya," katanya yang menyifatkan rundingan itu sebagai 'serius'.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.
Dalam serangan balas Israel itu, sekurang-kurangnya 33,207 orang maut setakat ini kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.- AFP