MAPUTO, 9 April - Lebih 100 orang maut dan 20 yang lain masih hilang selepas bot feri karam di luar pantai utara Mozambique, kata Presiden Filipe Nyusi semalam.
Seorang pegawai Institut Pengangkutan Maritim negara (INTRASMAR) berkata, feri yang membawa 130 penumpang itu adalah bot nelayan yang terlebih muatan dan tidak berlesen untuk mengangkut orang.
Pegawai INTRASMAR, Lourenco Machado berkata di televisyen kerajaan bahawa kapal tersebut sedang dalam perjalanan mengangkut penumpang dari Lunga di wilayah Nampula ke Pulau Mozambique pada Ahad.
Pejabat Setiausaha Negara bagi wilayah Nampula pula berkata dalam satu kenyataan bahawa para penumpang dilaporkan melarikan diri daripada wabak taun, sambil menambah bahawa 10 orang telah diselamatkan dan hampir 20 yang lain masih hilang.
Nyusi berkata beliau sedih dengan tragedi itu dan mengarahkan menteri pengangkutan negara Afrika selatan itu melawat pulau itu untuk melakukan siasatan.
“Kerajaan Mozambique akan bermesyuarat esok untuk menilai keadaan dan mengambil langkah yang perlu untuk meminimumkan kesan tragedi ini,” kata pejabatnya.
Video yang diperoleh REUTERS menunjukkan banyak mayat terbaring di pantai dan beberapa orang membawa mayat kanak-kanak.
Mozambique dan negara-negara lain di Afrika Selatan telah memerangi wabak kolera sejak tahun lalu.
Data kerajaan Mozambique menunjukkan negara itu telah merekodkan 15,051 kes taun sejak Oktober, mengakibatkan 32 kematian.
Sehingga Ahad, wilayah Nampula merekodkan 5,084 kes dengan 12 kematian.- REUTERS