DEHRADUN, 6 Ogos - Sekurang-kurangnya 70 penduduk telah dipindahkan dari sebuah perkampungan di utara India, negeri Uttarakhand, selepas banjir kilat dan kejadian tanah runtuh mengakibatkan beberapa orang dilaporkan hilang, menurut Ketua Menteri Negeri itu.
Kejadian banjir dan aliran lumpur deras yang melanda kampung tersebut turut mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, manakala lebih 50 orang dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa dan saluran televisyen tempatan.
Insiden tanah runtuh itu turut memusnahkan beberapa buah rumah di Kampung Dharali, seperti yang dipaparkan dalam satu video yang dikongsi oleh Pejabat Ketua Menteri Uttarakhand.
“Keutamaan kami adalah memastikan setiap individu yang terperangkap dapat diselamatkan,” kata Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan pasukan tentera dan agensi tindak balas bencana telah tiba di lokasi kejadian.
Pasukan penyelamat kini giat berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan dan aliran lumpur deras.-REUTERS