DHAKA, 6 Ogos – Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Muhammad Yunus, berkata beliau akan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya umum menjelang Februari tahun hadapan.
Penerima Anugerah Nobel itu, menyampaikan ucapan secara langsung dari pejabatnya di Dhaka, sehari sebelum ulang tahun kebangkitan rakyat yang diterajui oleh pelajar pada tahun lalu.
Kebangkitan tersebut turut menyaksikan kejatuhan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina selepas 15 tahun memegang kuasa. Sheikh Hasina kemudiannya melarikan diri ke India.
Insiden pada tahun lalu itu, meragut hampir 1,000 nyawa. Susulan kekacauan tersebut, Yunus mengambil alih kepimpinan kerajaan interim dan berikrar untuk melaksanakan reformasi demokrasi, memastikan keadilan serta menjamin pilihan raya yang bebas dan adil untuk negara Asia Selatan itu.-REUTERS