BAITULMAQDIS, 15 Oktober- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan menyerang Hezbollah tanpa belas kasihan, sehari selepas serangan paling dahsyat Hezbollah ke atas Israel sejak perang meletus pada hujung bulan lalu.
Serangan dron Hezbollah ke atas pangkalan tentera Israel mengorbankan empat askar pada Ahad, manakala pasukan penyelamat berkata 60 orang lagi cedera.
"Kami akan terus tanpa belas kasihan menyerang Hezbollah di semua bahagian Lubnan - termasuk Beirut," kata Netanyahu semasa lawatan ke pangkalan tersebut yang terletak berhampiran Binyamina, selatan Haifa.
Menurut Hezbollah, ia melancarkan sebuah "skuadron dron" sebagai tindak balas terhadap serangan Israel, termasuk serangan minggu lalu yang menurut Kementerian Kesihatan Lubnan membunuh sekurang-kurangnya 22 orang di bahagian tengah Beirut.
Sejak Israel meningkatkan pengebomannya terhadap kubu-kubu Hezbollah di Lubnan pada 23 September, perang antara kedua-dua pihak telah membunuh sekurang-kurangnya 1,315 orang, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka korban Kesihatan Kesihatan Lubnan, walaupun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.
Sebelum Netanyahu mengeluarkan komen tersebut, serangan udara baharu dilancarkan terhadap kubu-kubu Hezbolah di sekitar Lubnan, termasuk satu di perkampungan dengan majoriti penduduk beragama Kristian di bahagian utara yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 21 orang pada Isnin menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Hezbollah berkata bahawa sekitar tengah hari ia telah melepaskan roket dari pangkalan tentera laut berhampiran Haifa sebelum "serangan roket besar-besaran" dilancarkan pada awal petang ke atas bandar Safed, utara Israel.
Menurut Hezbollah, para anggotanya juga "terlibat dalam pertempuran ganas" di perkampungan di sempadan Lubnan, Aita al-Shaab, dan turut bertempur di tempat-tempat lain, menurut kumpulan itu.
Siren dibunyikan bagi menandakan serangan udara kedengaran di seluruh bahagian tengah Israel pada awal petang, termasuk di hab komersial Tel Aviv, menurut tentera Israel, selepas ia sebelum itu melaporkan pemintasan dua dron dari Syria. -REUTERS