fb fb fb fb fb

NATO tingkat tahap keselamatan di pangkalan udara

Sebuah pangkalan udara NATO di barat Jerman telah meningkatkan tahap keselamatannya berhubung potensi ancaman / Foto Reuters

BERLIN, 23 Ogos - Sebuah pangkalan udara NATO di barat Jerman telah meningkatkan tahap keselamatannya berhubung "potensi ancaman".

"Kami meningkatkan tahap keselamatan di Pangkalan Udara NATO Geilenkirchen berdasarkan maklumat perisikan yang menunjukkan potensi ancaman," kata pangkalan itu dalam satu catatan di platform media sosial X.

Pengumuman itu dibuat lebih seminggu selepas sebuah pangkalan tentera Jerman ditutup selama beberapa jam ketika pihak berkuasa menjalankan siasatan akibat sabotaj.

Pangkalan di Cologne-Wahn telah dikunci selepas sebuah lubang ditemui di pagar berhampiran kemudahan penyimpanan air minuman.

Namun keputusan ujian akhirnya menunjukkan air paip itu tidak tercemar, menurut tentera Jerman.

Pada masa yang sama, NATO mengumumkan percubaan insiden pencerobohan di pangkalan Geilenkirchen.

Seorang individu cuba memasuki pangkalan itu namun telah dihalang dan dihantar pergi.

Jerman, sekutu utama Kiev berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sabotaj dan serangan ke atas kemudahan ketenteraan di negara itu susulan pencerobohan Moscow pada 2022 ke atas Ukraine.

Pada bulan April, penyiasat menahan dua lelaki Jerman-Rusia kerana disyaki mengintip Rusia dan merancang serangan di Jerman termasuk ke atas kemudahan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk menjejaskan sokongan ketenteraan ke Ukraine.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN