WASHINGTON, 14 Mac - NASA dan SpaceX dijadual melancarkan misi Crew-10 hari ini bagi membawa pulang dua angkasawan Amerika Syarikat, Butch Wilmore dan Suni Williams, yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama sembilan bulan.
Pelancaran roket dari Florida itu sebelum ini tertangguh akibat masalah teknikal, namun kini dijadual semula pada 7:03 malam ET (Sabtu, 11:30 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan Crew-10 di ISS akan membolehkan Wilmore dan Williams pulang menggunakan kapsul SpaceX yang tersedia sejak September lalu.
Kedua-dua angkasawan berlepas ke ISS pada Jun 2024 menaiki pesawat angkasa Boeing Starliner dalam misi ujian pertama.
Namun, masalah sistem pendorongan menyebabkan mereka tidak dapat kembali menggunakannya, memaksa NASA untuk merancang kepulangan mereka dengan kapsul SpaceX.
Isu itu turut mencetuskan perdebatan politik apabila Presiden Donald Trump dan CEO SpaceX, Elon Musk, mendakwa tanpa bukti bahawa Presiden Joe Biden sengaja membiarkan mereka terkandas.
NASA bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan, dan kedua-dua angkasawan dilaporkan berada dalam keadaan baik serta terus menjalankan tugas penyelidikan dan penyelenggaraan di ISS.
Sekiranya pelancaran berjalan lancar, Crew-10 dijangka tiba di ISS pada Sabtu malam sebelum upacara serah tugas, dengan kru Crew-9 dijadual kembali ke Bumi pada 19 Mac. - AFP