ISLAMABAD, 14 Mac - Angka korban dalam insiden rampasan kereta api di barat daya Pakistan meningkat kepada 31 orang, termasuk 18 anggota tentera, menurut jurucakap tentera pada Jumaat.
Kumpulan pemisah Baloch Liberation Army (BLA) mengaku bertanggungjawab merampas kereta api Jaffar Express pada Selasa, meletupkan landasan serta menawan penumpang sebagai tebusan di wilayah Balochistan.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Ahmad Sharif Chaudhry, mendakwa India dan Afghanistan menyokong pemberontak tersebut, namun kedua-dua negara sebelum ini menafikan tuduhan itu.
Menurut Chaudhry, jumlah korban termasuk 18 anggota tentera, tiga kakitangan kereta api, dan lima orang awam dalam kalangan penumpang yang dijadikan tebusan.
Dalam operasi menyelamat, 354 tebusan berjaya dibebaskan, manakala 33 militan terbunuh.
Tentera menafikan dakwaan BLA bahawa masih ada tebusan yang ditahan, dan mengesahkan kepungan telah berakhir. - REUTERS