fb fb fb fb fb

Mark Carney angkat sumpah PM Kanada

Perdana Menteri baharu Kanada, Mark Carney / AFP

OTTAWA, 15 Mac- Mark Carney secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kanada pada Jumaat, mengambil alih kepimpinan negara itu yang bergolak susulan ketegangan hubungan dengan Amerika Syarikat sejak kembalinya Presiden Donald Trump ke tampuk kuasa.

Upacara angkat sumpah berlangsung di Ottawa, menyaksikan Carney menggantikan Justin Trudeau yang telah menerajui Kanada sejak tahun 2015.

Dalam ucapan sulungnya, Carney dengan tegas menolak ancaman berulang kali Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengilhak Kanada sebagai sebahagian daripada Amerika Syarikat.

"Kanada tidak akan, dalam apa jua keadaan sekalipun, menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat," katanya sambil menyuarakan harapan agar pentadbirannya dapat bekerjasama dengan Washington demi kepentingan kedua-dua negara.

Keutamaan Carney, menurutnya, adalah untuk menangani tarif yang dikenakan Trump, yang telah mencetuskan perang dagang dan menegangkan hubungan rentas sempadan sejak Trump kembali berkuasa pada Januari lalu.

Pihak berkuasa Kanada sedang mengatur panggilan rasmi antara Trump dan Carney dalam masa terdekat bagi membincangkan isu ini.

Ketegangan meningkat apabila Trump bukan sahaja mengenakan tarif ke atas barangan Kanada, malah menuntut negara itu menyerahkan kedaulatan dan menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat, tuntutan yang mencetuskan kemarahan rakyat Kanada.

Carney menyifatkan pentadbiran Trump sebagai cabaran terbesar buat Kanada dalam satu generasi, sambil menyatakan bahawa tarif ke atas barangan Kanada adalah tidak berasas.

Beliau menjadi Perdana Menteri selepas memenangi sokongan besar dalam pemilihan Parti Liberal bagi menggantikan Trudeau. Bagaimanapun, Carney, seorang bekas bank pusat, adalah pendatang baharu dalam politik dan belum pernah memenangi kerusi awam melalui pilihan raya.

Carney berdepan cabaran besar dengan pilihan raya umum dijangka berlangsung dalam beberapa minggu akan datang. Tinjauan menunjukkan saingan sengit antara Parti Liberal pimpinan Carney dan Parti Konservatif pembangkang, yang cuba menggambarkan beliau sebagai elit dan jauh daripada realiti hidup rakyat biasa.

Namun, Carney mempertahankan pengalamannya dalam sektor global, termasuk sebagai bekas Gabenor Bank of Canada dan Bank of England, sebagai aset penting untuk memacu ekonomi Kanada yang kini berdepan keretakan dengan rakan dagang utama mereka, Amerika Syarikat.

Beliau turut berikrar untuk memperkukuh hubungan antarabangsa, dijadualkan ke Paris dan London minggu hadapan bagi mengukuhkan pakatan luar negara ketika hubungan dengan Washington semakin renggang.

Antara pemimpin dunia yang mengucapkan tahniah kepada Carney termasuk Canselor Jerman Olaf Scholz, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

Dalam usaha membezakan dirinya daripada Trudeau, tindakan pertama Carney selepas mengangkat sumpah adalah membatalkan cukai karbon individu dan keluarga yang diperkenalkan Trudeau, sambil berjanji untuk memperjuangkan penyelesaian berasaskan pasaran bagi menangani perubahan iklim.

Barisan kabinet baharu Carney sebahagian besarnya mengekalkan pasukan yang sebelum ini bertanggungjawab dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat, menunjukkan kesinambungan dasar meskipun dengan nada kepimpinan yang berbeza.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE