WASHINGTON, 12 Mac- Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memulakan kerja-kerja penggerudian di permukaan bulan bagi tujuan eksplorasi terma iaitu penyelidikan mengenai haba selepas pendaratan kapal angkasa "Blue Ghost 1."
Selepas pendaratan itu pada 2 Mac lepas, peralatan khas NASA dikenali sebagai "Lunar Instrumentation for Subsurface Thermal Exploration with Rapidity (LISTER)" melakukan penggerudian bagi mengukur aliran haba dari bahagian dalam satelit semula jadi bumi itu.
LISTER dibangunkan oleh Texas Tech University di Lubbock dan Honeybee Robotics di California dilengkapi alat penggerudian sedalam tiga meter untuk mengambil bacaan suhu tanah pada setiap setengah meter kedalaman.
Data yang diperoleh dijangka membantu saintis memahami proses penyejukan bulan dari semasa ke semasa.
Menurut pihak berkuasa, kejayaan LISTER berpotensi membawa kepada pembangunan teknologi penggerudian yang lebih maju bagi misi masa hadapan ke bulan, marikh dan planet lain.
Misi tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan NASA untuk memperluaskan penggunaan teknologi di bulan dengan "Blue Ghost 1" membawa 10 peralatan saintifik.
Kapal angkasa "Blue Ghost 1" dibangunkan oleh Firefly Aerospace iaitu syarikat aeroangkasa yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
NASA memaklumkan projek yang dikendalikan dengan sokongan Pusat Penerbangan Angkasa Marshall di Alabama itu mampu menyumbang kepada matlamat jangka panjang bagi membolehkan manusia tinggal dan bekerja di bulan. -Reuters