fb fb fb fb fb

Ketua Saintis NASA dipecat susulan dasar baharu Trump

Donald Trump dan Katherine Calvin/AFP

WASHINGTON, 12 Mac- Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengumumkan pemecatan Ketua Saintisnya Katherine Calvin serta beberapa pegawai lain selaras dengan dasar baharu pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Jurucakap NASA Cheryl Warner memaklumkan keputusan tersebut adalah sebahagian daripada pengurangan tenaga kerja secara berperingkat atau Reduction in Force (RIF) selaras Perintah Eksekutif Presiden.

"Sebilangan individu telah menerima notifikasi pada 10 Mac lalu bahawa mereka terlibat dalam proses RIF NASA.

"Jika layak, mereka boleh memilih untuk menyertai Program Persaraan Awal Sukarela (VERA) atau melengkapkan proses RIF," katanya.

Pemecatan itu turut melibatkan pembubaran Pejabat Ketua Saintis yang diterajui oleh Calvin, seorang pakar klimatologi yang pernah menyumbang kepada laporan iklim utama Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Trump yang pernah menyifatkan perubahan iklim sebagai "penipuan" dan memperlekehkan PBB serta sains iklim, sebelum ini telah menarik AS keluar daripada Perjanjian Paris buat kali kedua.

Calvin serta beberapa delegasi AS turut dihalang daripada menghadiri persidangan sains iklim di China bulan lalu.

Selain itu, NASA turut menutup Pejabat Teknologi, Dasar dan Strategi serta Cawangan Kepelbagaian, Kesaksamaan, Inklusi dan Aksesibiliti bawah Pejabat Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Inklusi.

Sumber melaporkan NASA sebelum ini berjaya mengelakkan pemotongan besar seperti yang dikenakan ke atas agensi lain dipercayai hasil campur tangan saat akhir Jared Isaacman, calon pilihan Trump untuk mengetuai NASA.

Pada Februari lalu, NASA dilaporkan bersedia untuk memberhentikan sekitar 1,000 pekerja percubaan, namun keputusan itu ditangguhkan atas permintaan Isaacman.

Bagaimanapun, pemecatan terbaharu didedahkan menerusi memo dalaman NASA Watch itu dijangka menandakan peralihan fokus NASA daripada penyelidikan perubahan iklim kepada eksplorasi angkasa lepas.

Trump sebelum ini menyatakan sokongan terhadap misi manusia ke marikh dan dalam ucapan State of the Union minggu lalu, beliau menegaskan AS akan "menanam bendera AS di marikh dan lebih jauh daripada itu."

NASA memainkan peranan utama dalam penyelidikan perubahan iklim menerusi operasi satelit pemantauan bumi, kajian udara dan darat, pembangunan model iklim canggih serta penyediaan data sumber terbuka kepada penyelidik dan orang awam.

Pentadbiran Trump turut dilaporkan telah memberhentikan ratusan pekerja di Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dengan lebih banyak pemotongan dijangka berlaku dalam masa terdekat. -AFP

SITI AISHAH MD ISA