fb fb fb fb fb

Lagi insiden serangan jerung di Australia

FOTO HIASAN

SYDNEY, 12 Mac- Seorang lelaki yang hilang di perairan Australia Barat dikhuatiri maut akibat serangan jerung selepas pasukan mencari dan menyelamat menemui papan luncurnya dengan kesan gigitan.

Mangsa berusia 30-an dipercayai diserang ketika meluncur di pantai terpencil Wharton Beach kira-kira 90 kilometer ke timur Esperance pada Isnin.

"Malangnya, pencarian tidak menemui jasad mangsa. Saya boleh sahkan bahawa operasi ini adalah misi pemulihan, bukan penyelamatan," kata Sarjan Kanan Polis Australia Barat, Christopher Taylor.

Insiden tersebut merupakan serangan maut keempat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada Februari, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut diserang jerung di sebuah pulau di timur Australia, manakala pada Januari, seorang peluncur berusia 28 tahun dibaham di Australia Selatan.

Sebelum itu, pada 28 Disember, seorang pastor berusia 40 tahun maut akibat gigitan jerung di leher ketika menangkap ikan menggunakan lembing di perairan Queensland. -AFP

SITI AISHAH MD ISA