SANTIAGO, 12 Mac- Enam maut manakala 11 cedera dalam kemalangan tragis melibatkan empat bas di utara Chile awal pagi Selasa, menurut pihak berkuasa.
Polis Wilayah Coquimbo, Juan Munoz memaklumkan kemalangan berlaku di Lebuhraya Pan-Amerika apabila dua bas yang mengalami kerosakan berhenti di tepi jalan sebelum dirempuh oleh bas ketiga.
Bas keempat kemudian merempuh bas ketiga serta melanggar beberapa penumpang yang telah keluar dari kenderaan mereka.
Mangsa yang terkorban termasuk pemandu bas keempat, sementara dua daripada 11 yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Susulan kejadian, sebahagian lebuh raya ditutup bagi tujuan siasatan.
Presiden Gabriel Boric menerusi platform X menyifatkan kejadian itu sebagai "tragedi dahsyat" dan menyampaikan ucapan takziah serta solidariti kepada keluarga mangsa. -AFP