BEIRUT, 13 Januari-Presiden baharu Lubnan, Joseph Aoun, akan memulakan konsultasi parlimen pada Isnin bagi menamakan seorang perdana menteri yang bertanggungjawab membentuk kerajaan baharu untuk menghadapi pelbagai cabaran di negara yang sedang dilanda krisis ini.
Konsultasi itu yang merupakan keperluan perlembagaan di bawah sistem pembahagian kuasa sektarian Lubnan, diadakan beberapa hari selepas Aoun dipilih sebagai presiden di tengah-tengah tekanan antarabangsa untuk kemajuan pantas, terutamanya daripada Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Negara kecil di Mediterranean itu telah ditadbir tanpa presiden sejak Oktober 2022, dan diuruskan oleh kerajaan sementara meskipun sedang menghadapi krisis ekonomi yang teruk serta perang antara kumpulan pejuang Lubnan, Hizbullah, dan Israel.
Jawatan perdana menteri, yang diperuntukkan kepada seorang Muslim Sunni, menyaksikan beberapa nama disebut sebagai calon.
Ini termasuk perdana menteri sementara semasa Najib Mikati, ahli parlimen anti-Hezbullah, Fouad Makhzoumi dan Nawaf Salam, seorang hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague.
Konsultasi Aoun dengan blok-blok politik akan bermula pada jam 8:00 pagi (waktu tempatan) dengan pertemuan bersama speaker parlimen berkuasa dan sekutu Hizbullah, Nabih Berri.
Menurut sumber yang dekat dengan Hizbullah, kumpulan itu bersama pergerakan Amal pimpinan Berri menyokong Mikati.
"Pelantikan semula Mikati adalah sebahagian daripada perjanjian yang dicapai dengan utusan Saudi ke Lubnan... yang membawa kepada undi Hizbullah dan Amal untuk Aoun sebagai presiden minggu lalu," kata sumber tersebut dengan syarat tidak dinamakan atas sebab-sebab sensitif.
Arab Saudi dan Amerika Syarikat merupakan antara negara utama yang mendorong usaha diplomatik untuk menamatkan kekosongan jawatan presiden.
Riyadh kembali menunjukkan minat dalam arena politik Lubnan selepas bertahun-tahun menjauhkan diri sebagai protes terhadap pengaruh Hizbullah yang disokong Iran, kini semakin lemah selepas perang dengan Israel.
Cabaran Berat Menanti
Mikati, yang telah membentuk tiga kerajaan sebelum ini dan mempunyai hubungan baik dengan parti-parti politik Lubnan serta beberapa negara asing, menafikan wujudnya sebarang perjanjian sebelum ini.
Salah seorang lelaki terkaya di Lubnan, Mikati telah mengetuai negara itu secara sementara sepanjang kekosongan jawatan presiden.
Beliau menyatakan pada sidang media selepas undian presiden pada Khamis bahawa beliau bersedia untuk berkhidmat kepada negara "jika diperlukan."
Namun, sesiapa yang mengetuai kerajaan baharu Lubnan akan menghadapi cabaran besar, termasuk melaksanakan pembaharuan untuk memenuhi syarat penderma antarabangsa di tengah krisis ekonomi yang sudah berlanjutan selama lima tahun.
Mereka juga akan memikul tugas berat untuk membina semula kawasan yang musnah akibat perang Israel-Hizbullah dan melaksanakan perjanjian gencatan senjata 27 November, termasuk isu sensitif perlucutan senjata Hezbollah.
Ahli-ahli parlimen pembangkang, termasuk parti Kristian Lebanese Forces (LF) dan blok-blok kecil lain, mengumumkan pada Sabtu bahawa mereka akan mencalonkan Makhzoumi, seorang ahli perniagaan kaya yang mempunyai hubungan baik dengan negara-negara Teluk dan Washington.
Duta khas AS, Amos Hochstein, turut melawat kediaman Makhzoumi minggu lalu untuk pertemuan dengan ahli-ahli parlimen pembangkang sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Lubnan.
Ahli-ahli parlimen lain pula mencadangkan hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Nawaf Salam, seorang bekas duta yang sangat dihormati, sebagai calon alternatif.
Lewat Ahad, usaha terakhir dilakukan untuk menyatukan pendirian pembangkang dan pihak bebas dengan tujuan menyokong Salam dan menghalang Mikati daripada dilantik semula.
Pembangkang Hizbullah melihat Mikati sebagai sebahagian daripada sistem politik lama yang berada dalam cengkaman kumpulan tersebut.
Menurut perlembagaan Lubnan, presiden akan melantik perdana menteri selepas berunding dengan speaker parlimen, dengan memilih calon yang mendapat undian terbanyak semasa konsultasi.
Namun, pencalonan seorang perdana menteri tidak bermakna sebuah kerajaan baharu akan segera dibentuk.
Proses itu sebelum ini memakan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan akibat perpecahan politik mendalam dan rundingan yang rumit.-AFP