BEIRUT, 13 Januari- Israel melancarkan serangan udara di Lubnan pada Ahad, menyasarkan kawasan di timur dan selatan dengan tentera Israel mengatakan ia memusnahkan kubu Hizbullah termasuk laluan penyeludupan di sepanjang sempadan dengan Syria.
Serangan udara itu meningkatkan lagi ketegangan terhadap gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hizbullah, yang mula berkuat kuasa pada 27 November.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan yang dikendalikan kerajaan berkata pesawat Israel menyasarkan kawasan pinggir Janta di wilayah timur Baalbek serta kawasan berhampiran Nabatieh di selatan. Ia tidak menyatakan sama ada terdapat korban jiwa.
Tentera Israel berkata ia menyerang beberapa sasaran yang telah dibentangkan kepada pemantau gencatan senjata sebagai ancaman.
“Antara sasaran yang diserang termasuk lokasi pelancar roket, lokasi ketenteraan, dan laluan di sepanjang sempadan Syria-Lubnan yang digunakan untuk menyeludup senjata kepada Hizbullah,” katanya.
Serangan itu berlaku hanya dua minggu sebelum tarikh akhir 26 Januari untuk melaksanakan gencatan senjata November, yang mana kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian.
Kenyataan tentera Israel berkata ia beroperasi selaras dengan pemahaman gencatan senjata.
Dawah syarat perjanjian itu, Hizbullah mesti membongkar infrastruktur ketenteraan yang masih ada di selatan dan menarik pasukan mereka ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan.
Pasukan pengaman PBB di Lubnan bulan ini menuduh Israel melakukan “pelanggaran terang-terangan” terhadap resolusi Majlis Keselamatan yang menjadi asas kepada gencatan senjata tersebut.
Serangan Israel di selatan Lubnan pada Jumaat lalu mengorbankan lima orang, dengan tentera Israel mengatakan ia menyasarkan sebuah trak senjata Hizbullah.-AFP