RAIPUR, 13 Januari- Pasukan tentera India membunuh sekurang-kurangnya lima gerila Maois dalam usaha terkini untuk menghancurkan pemberontakan yang telah lama berlarutan, manakala letupan bom berasingan mencederakan dua anggota polis.
Lebih daripada 10,000 orang telah terkorban dalam pemberontakan selama beberapa dekad yang diperjuangkan oleh para pemberontak, yang mendakwa mereka berjuang untuk hak-hak masyarakat pribumi yang terpinggir di kawasan tengah India yang kaya dengan sumber.
“Pasukan keselamatan telah menemui lima mayat Maois,” kata inspektor jeneral polis P. Sunderraj kepada AFP, merujuk kepada pertempuran di hutan tebal daerah Bijapur di negeri Chhattisgarh, tengah India.
Senjata yang diambil dari mayat pemberontak iaitu tiga lelaki dan dua wanita termasuk pelancar grenad dan senapang, katanya.
Dalam insiden berasingan, sebuah periuk api buatan sendiri meletup di daerah Bijapur, mencederakan dua anggota polis.
Pasukan kerajaan telah meningkatkan usaha untuk menamatkan konflik gerila yang berlarutan selama beberapa dekad, dengan kira-kira 287 pemberontak terbunuh pada tahun 2024, menurut angka rasmi.
Pemberontak, yang juga dikenali sebagai Naxalit sempena daerah di mana kempen bersenjata mereka bermula pada tahun 1967, diilhamkan oleh pemimpin revolusi China, Mao Zedong.
Sekitar 1,000 suspek Naxalit telah ditahan dan 837 menyerah diri tahun lalu.
Amit Shah, menteri dalam negeri India, telah beberapa kali menetapkan tarikh akhir pada Mac 2026 untuk mengalahkan Maois.-AFP