OLYOKMINSKY, 13 Oktober- Seorang maut dalam pendaratan cemas pesawat Antonov-3 Rusia yang membawa penumpang dan kargo di wilayah Yakutia dekat Siberia baru-baru ini.
Kementerian Situasi Darurat Republik Sakha mengesahkan perkara tersebut hari ini tanpa memberi butiran lanjut mengenai tarikh kemalangan.
Gambar disiarkan oleh kementerian itu menunjukkan pesawat kecil berwarna putih dan merah terdampar, dengan bahagian "fuselage" terkoyak serta kelihatan serpihan sayap di sekitarnya.
Terdapat tiga anak kapal dan dua penumpang dilapor berada dalam pesawat, menurut kementerian tersebut melalui aplikasi Telegram.
Pejabat pendakwa raya Siberia Timur memaklumkan bahawa maklumat awal menunjukkan kehilangan daya enjin memaksa pendaratan kecemasan dilakukan. -Reuters