fb fb fb fb fb

Nahas pesawat China: Juruterbang tidak disyaki

(Pasukan penyiasat dalam usaha mengesan dan mengumpul bukti punca nahas/REUTERS)

BEIJING, 28 Mac- Kenyataan rasmi China Eastern Airlines mengesahkan juruterbang dan dua pembantu penerbangan tidak disyaki sengaja menyebabkan pesawat malang itu terhempas.

"Siasatan awal telah menunjukkan ketiga-tiganya mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang," kata syarikat penerbangan itu, sambil menambah bahawa latar belakang kehidupan peribadi mereka tidak membayangkan sebarang masalah dan gangguan.

Katanya, juruterbang berkenaan mempunyai lebih daripada 6,700 jam pengalaman penerbangan manakala pembantu juruterbang pertama mempunyai lebih 31,000 jam masa penerbangan dan yang kedua pula lebih daripada 550 jam.

Pesawat itu jatuh berhampiran Wuzhou di selatan China pada petang Isnin selepas terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.

Laman web penjejakan FlightRadar24 menunjukkan jet itu jatuh mendadak dari ketinggian 29,100 hingga 7,850 kaki (kira-kira 8,900 hingga 2,400 meter) dalam masa hanya beberapa minit.

Selepas naik sebentar, ia turun semula kepada 3,225 kaki, kata penjejak itu. Tiada data untuk penerbangan selepas pukul 2.22 petang.

(Sidang media berkaitan perkembangan maklumat berhubung nahas pesawat
dihadiri petugas media pelbagai agensi berita/REUTERS)


Penerbangan China Eastern MU5735 itu dilaporkan berlepas dari bandar Kunming pada pukul 1.11 petang (waktu tempatan) pada Isnin dan dijadualkan tiba di Guangzhou pada pukul 3.05 petang.

Lebih 600 anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat kesemua 132 penumpang termasuk kru, namun tiada tanda-tanda yang menunjukkan terdapat mangsa terselamat. -AFP

Media Baharu