fb fb fb fb fb

Nahas pesawat: Azerbaijan berkabung seluruh negara

Foto AFP

ASTANA, 26 Disember- Azerbaijan memulakan tempoh berkabung seluruh negara pada Khamis, selepas sebuah pesawat penumpang dari syarikat penerbangan rasmi negara itu terhempas di barat Kazakhstan pada Hari Krismas, yang turut mengorbankan 38 daripada 67 penumpang.

Pesawat Embraer 190 sepatutnya terbang ke barat laut dari ibu kota Azerbaijan, Baku, ke bandar Grozny di Chechnya, selatan Rusia, sebaliknya melencong jauh dari laluan melintasi Laut Caspian.

Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, mengisytiharkan hari Khamis (26 Disember) sebagai hari berkabung nasional dan membatalkan lawatan yang dirancang ke Rusia untuk menghadiri sidang kemuncak tidak rasmi Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS), sebuah kumpulan negara bekas Soviet.

Pejabat Aliyev menyatakan bahawa presiden mengarahkan supaya langkah segera diambil untuk menyiasat punca nahas itu.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa dalam nahas ini dan mendoakan kesembuhan segera kepada yang cedera," kata Aliyev dalam hantaran media sosial.

Pesawat itu terhempas pada Rabu berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan. Syarikat penerbangan itu melaporkan bahawa 67 orang berada di dalam pesawat, iaitu 62 penumpang dan lima anak kapal.

Azerbaijan Airlines, syarikat penerbangan rasmi negara itu, berkata pesawat tersebut membuat pendaratan kecemasan, kira-kira tiga kilometer (1.9 batu) dari Aktau.

Sementara itu, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas, namun beberapa pakar penerbangan dan ketenteraan mendakwa pesawat itu mungkin telah ditembak secara tidak sengaja oleh sistem pertahanan udara Rusia kerana ia terbang di kawasan yang dilaporkan terdapat aktiviti dron Ukraine.-AFP

ROSLINA BINTI DIN