TOKYO, 26 Disember- Kira-kira 65 peratus syarikat di Jepun menggaji pekerja asing untuk mengatasi kekurangan tenaga buruh, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik hasil tinjauan kerajaan pada Khamis.
Dalam tinjauan dengan pelbagai pilihan jawapan itu, 56.8 peratus syarikat menyatakan bahawa pekerja asing diambil bekerja dengan jangkaan mereka akan menunjukkan prestasi yang baik atau lebih baik berbanding kakitangan Jepun, manakala 18.5 peratus menyebut usaha untuk menggalakkan kepelbagaian, menurut tinjauan Kementerian Buruh.
Tinjauan itu adalah yang pertama dijalankan oleh kementerian berhubung pekerjaan dan pengambilan pekerja asing, dengan jumlah berkenaan terus meningkat di tengah-tengah penduduk Jepun yang menghadapi populasi menua dan semakin berkurangan.
Tinjauan terhadap syarikat yang menggaji lima atau lebih pekerja asing yang dijalankan pada Oktober dan November 2023, mendapat maklum balas daripada 3,534 perniagaan dan 11,629 pekerja.
Ditanya mengenai cabaran di tempat kerja, 44.8 peratus syarikat menyatakan kesukaran untuk berkomunikasi dengan pekerja asing.
Tinjauan itu turut mendapati 51.5 peratus pekerja asing di Jepun diperkenalkan kepada pekerjaan mereka oleh agensi atau individu di negara asal mereka, manakala 13.5 peratus memperoleh pekerjaan melalui agensi atau individu di Jepun.
Sementara itu, 82.5 peratus pekerja asing menyatakan mereka tidak menghadapi masalah di tempat kerja.
"Kami berhasrat untuk meneruskan tinjauan ini dan menggunakannya sebagai dokumen asas untuk penggubalan dasar," kata seorang pegawai kementerian.- BERNAMA-KYODO