fb fb fb fb fb

Nahas Jeju Air: Kotak hitam dihantar ke AS untuk analisis

Foto AFP

SEOUL, 1 Januari- Penyiasat Korea Selatan yang menyiasat nahas pesawat Jeju Air yang mengorbankan 179 nyawa, akan menghantar salah satu kotak hitam pesawat tersebut ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

Pesawat Boeing 737-800 yang membawa 181 orang dari Thailand itu mengeluarkan isyarat kecemasan sebelum mendarat dengan perut pesawat, melanggar penghalang dan terbakar pada Ahad lalu.

Hanya dua kru kabin berjaya diselamatkan dari bangkai pesawat.

Menurut Timbalan Menteri Penerbangan Awam Korea Selatan, Joo Jong-wan, perakam data penerbangan pesawat itu mengalami kerosakan serius dan tidak dapat diekstrak secara domestik.

"Ia telah dipersetujui untuk dihantar ke AS bagi dianalisis bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS (NTSB)," katanya.

Joo mengesahkan perakam suara kokpit telah berjaya diekstrak dan akan ditukar kepada format audio bagi mendengar komunikasi terakhir juruterbang.

Bagaimanapun, perakam data penerbangan ditemui dengan penyambung yang hilang, menyukarkan proses pemulihan data.

Siasatan awal mengesyaki serangan burung sebagai punca nahas, namun kini tumpuan turut diberikan kepada penghalang konkrit di hujung landasan serta kegagalan gear pendaratan yang dilaporkan tidak berfungsi dengan baik semasa percubaan pendaratan kedua.

Dalam pada itu, Presiden Sementara, Choi Sang-mok berkata semua mangsa yang terkorban telah dikenal pasti.

Beliau juga memaklumkan lebih banyak jenazah telah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Memorial telah didirikan di seluruh negara, termasuk di Lapangan Terbang Muan dan Seoul, untuk memperingati tragedi berkenaan.

Laporan penuh mengenai punca nahas dijangka akan dikeluarkan selepas analisis kotak hitam selesai.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM