KIEV, 1 Januari- Rusia melancarkan serangan dron ke atas ibu kota Ukraine, Kiev, pada awal pagi Rabu.
Serangan itu mencederakan sekurang-kurangnya tiga orang dan merosakkan bangunan di dua kawasan, menurut pegawai tempatan.
Letupan bergema di langit pagi sejurus tentera udara Ukraine memberi amaran tentang kehadiran dron yang menghampiri bandar tersebut.
Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko berkata sistem pertahanan udara sedang menangkis serangan musuh dan dua tingkat sebuah bangunan kediaman mengalami kerosakan sebahagian akibat serangan itu.
Tambahnya, serpihan dron turut merosakkan sebuah premis bukan kediaman di kawasan lain.
Rusia secara kerap melancarkan serangan udara ke atas bandar-bandar Ukraine yang jauh dari barisan hadapan sejak pencerobohan hampir tiga tahun lalu bermula.
Sementara itu, tentera Ukraine berjaya menembak jatuh 63 daripada 111 dron serangan yang dilancarkan oleh Rusia dalam serangan udara semalaman, menurut tentera udara Kyiv pada Rabu.
Sebanyak 46 dron lagi dilaporkan "hilang lokasi" tanpa sebarang kesan negatif, yang mungkin disebabkan oleh gangguan elektronik, tambah kenyataan itu.
Menurut tentera, dron-dron tersebut ditembak jatuh di beberapa bahagian di utara, tengah, barat, dan selatan Ukraine.- REUTERS