SAN JUAN, 1 Januari- Hampir keseluruhan Puerto Rico dilanda gangguan bekalan elektrik pada malam tahun baharu akibat kerosakan grid, meninggalkan 90 peratus pengguna tanpa bekalan.
Walaupun bekalan mula dipulihkan secara beransur-ansur, lebih separuh pengguna masih terkesan.
Menurut LUMA Energy, syarikat pengedar tenaga, gangguan dipercayai berpunca daripada kegagalan talian bawah tanah.
Bekalan ke beberapa kemudahan kritikal seperti Centro Medico dan Hospital Perbandaran San Juan telah dipulihkan, namun pemulihan sepenuhnya dijangka mengambil masa 24 hingga 48 jam.
Gabenor Puerto Rico, Pedro Pierluisi, mendesak LUMA dan Genera, operator grid, mempercepatkan pemulihan dan memberikan maklumat terkini kepada rakyat.
Dalam pada itu, gangguan tersebut mengganggu perayaan tradisi tahun baharu, seperti yang dialami oleh Ramon Luis Nieves, seorang penduduk San Juan.
“Kami tidak dapat meraikan bersama keluarga dalam keadaan gelap,” katanya.
Beliau turut mengkritik kegagalan pelaburan dan penyelenggaraan grid yang menurutnya telah lama diabaikan, terutamanya sejak Badai Maria pada 2017 yang menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur.
Protes terhadap LUMA telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ramai penduduk menyeru pembatalan kontrak syarikat itu.
LUMA bagaimanapun menafikan kenyataan berkenaan dengan alasan bahawa mereka mewarisi sistem elektrik yang telah lama diabaikan.
Gabenor baharu, Jenniffer González, yang akan memulakan tugas pada Khamis, berjanji untuk membentuk pasukan khas tenaga untuk menangani masalah gangguan kerap.
“Kita tidak boleh terus dengan sistem tenaga yang sering gagal memenuhi keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Gangguan seperti itu bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup tetapi juga ekonomi wilayah tersebut, yang masih bergelut memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem tenaga sedia ada.- REUTERS