fb fb fb fb fb

Lagi kemalangan bas di Afrika Selatan, lima maut

FOTO X @Mlimo_Insider

JOHANNESBURG, 2 September- Sebuah bas dalam perjalanan dari Zimbabwe hilang kawalan dan terbalik di timur laut Afrika Selatan sebelum meragut lima nyawa.

Empat lelaki dan seorang wanita maut di wilayah Limpopo timur laut semalam, menurut Kementerian Pengangkutan wilayah tersebut dalam satu kenyataan.

Ia menyatakan "sangat sedih dengan kemalangan bas kedua (di wilayah sama) yang berlaku dalam tempoh kurang dari lima hari," sambil menambah "keletihan mungkin menjadi punca" nahas itu.

"Ratusan penumpang mengalami pelbagai tahap kecederaan dan telah dibawa ke hospital," menurutnya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Awal minggu ini, sebuah bas yang dalam perjalanan dari Zimbabwe hilang kawalan dan terbalik di Limpopo, mengorbankan 10 orang dan mencederakan 35 lagi.

Pada Sabtu pula, sekurang-kurangnya 11 orang terkorban di wilayah KwaZulu-Natal di timur negara itu - hanya seorang lelaki terselamat.

Sementara itu sekurang-kurangnya enam penyokong pembangkang uMkhonto weSizwe terkorban apabila minibus mereka terlibat kemalangan dalam perjalanan ke satu acara  di wilayah dan hari yang sama (Sabtu).

Afrika Selatan memiliki salah satu rangkaian jalan paling maju di benua terbabit tetapi menghadapi rekod keselamatan jalan raya yang buruk.

Ia sebahagiannya disebabkan oleh pemanduan cuai dan kenderaan yang tidak memenuhi standard keselamatan.

Menteri Pengangkutan Limpopo telah menyuarakan kebimbangan mengenai pengendali bas merentas sempadan dan merayu syarikat bas agar memastikan pemandu mereka memenuhi syarat keselamatan ditetapkan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA