fb fb fb fb fb

Enam maut di Dominican selepas lori rempuh bar

Ahli keluarga kepada mangsa yang terkorban dalam rempuhan berkenaan berkabung di majlis pengebumian/AFP

SANTO DOMINGO, 2 September- Sekurang-kurangnya enam orang maut di Republik Dominican selepas sebuah lori merempuh sebuah bar di pantai selatan negara Pulau Caribbean itu.

Kemalangan berlaku pada awal pagi Ahad (semalam) di bandar Azua, kira-kira 100 kilometer ke barat ibu kota Santo Domingo.

Sumber polis awalnya menyatakan jumlah kematian seramai sembilan orang, namun Pengarah Kesihatan Awam di Azua, Joel Montano menurunkannya kepada enam dengan tiga orang kritikal.

Seramai 32 orang lagi cedera dalam kejadian tersebut.

Media tempatan menyiarkan gambar lori merah membawa muatan avokado merempuh bar tersebut serta imej mangsa yang terkorban dan cedera terbaring atas tanah.

Pemandu lori melarikan diri dari tempat kejadian, namun polis berjaya menahan seorang penumpang lori terbabit untuk membantu siasatan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA