fb fb fb fb fb

Lelaki Australia mengaku buat jenayah seksual 60 kanak-kanak

Wartawan menemu bual beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan mangsa/Reuters

BRISBANE, 2 September- Bekas pekerja penjagaan kanak-kanak, Ashley Paul Griffith hari ini mengaku bersalah atas tuduhan merogol, penyalahgunaan seksual dan eksploitasi terhadap puluhan kanak-kanak perempuan di bawah jagaannya di Australia dan Itali sejak tahun 2003.

Hakim Anthony Rafter mengambil masa lebih dua jam membaca 307 tuduhan terhadap Griffith di Mahkamah Brisbane dengan beberapa mangsa dan keluarga mereka hadir, menurut agensi berita Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Polis menyifatkan lelaki berusia 46 tahun itu sebagai antara pedofil terburuk di Australia selepas tuduhan terhadapnya didedahkan tahun lalu.

Griffith pertama kali ditangkap pada 2022 kerana menghasilkan bahan penyalahgunaan seksual kanak-kanak. Setahun kemudian, dia didakwa dengan 1,623 kesalahan terhadap 91 kanak-kanak.

Bagaimanapun beberapa tuduhan telah digugurkan dan ABC melaporkan tuduhan hari ini berkaitan dengan kira-kira 60 kanak-kanak majoriti berusia bawah 12 tahun.

Kesalahan berkenaan berlaku antara 2003 dan 2022 di 12 lokasi berbeza di sekitar Australia dan Pisa, Itali.

Griffith kini dalam tahanan dan akan dijatuhkan hukuman pada tarikh ditentukan kelak. Proses menjatuhkan hukuman mungkin memerlukan lebih dua hari.

Ini kerana mahkamah memerlukan masa untuk membaca dan mempertimbangkan kenyataan kesan daripada mangsa sebelum membuat keputusan mengenai hukuman, menurut ABC. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA