fb fb fb fb fb

Myanmar diseru selesai krisis politik, permudah kepulangan Rohingya

Foto arkib: Tentera Laut Sri Lanka menyelamatkan ratusan pelarian Rohingya yang terdampar di Lautan Hindi dan membawa mereka ke pelabuhan dengan selamat/AFP

DHAKA, 24 Februari- Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Julie Bishop pada Ahad menyeru agar penyelesaian politik yang lebih awal dilaksanakan di Myanmar bagi membolehkan kepulangan komuniti Rohingya ke negara asal mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bishop menyampaikan kenyataan itu semasa pertemuan dengan Penasihat Hal Ehwal Luar kepada kerajaan sementara Bangladesh, Md. Touhid Hossain di pejabatnya di Dhaka.

Bangladesh menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta Rohingya di daerah tenggara Cox's Bazar sejak mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada Ogos 2017.

Bishop kini sedang dalam lawatan dua hari ke Bangladesh dan dijadualkan mengunjungi kem-kem pelarian Rohingya pada Isnin.

Utusan khas itu menegaskan beliau sedang berusaha untuk memastikan isu terbabit terus mendapat perhatian dunia, sambil berharap agar satu persidangan PBB yang dicadangkan oleh Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Dr Muhammad Yunus dapat menjana momentum yang cukup untuk usaha bermakna daripada masyarakat antarabangsa.

Hossain menekankan peranan kritikal PBB dan Utusan Khas Setiausaha Agung PBB dalam membawa penyelesaian berkekalan kepada krisis yang memberi kesan besar kepada Bangladesh dalam pelbagai aspek.

Beliau meluahkan kebimbangan mendalam bahawa kegagalan untuk mencari penyelesaian yang mampan kepada krisis ini tidak hanya akan memberi kesan kepada Myanmar dan Bangladesh, malah menjejaskan kestabilan dan keselamatan di seluruh rantau itu.

Muhammad Yunus berkata bulan lalu, sekitar 100,000 lagi komuniti Rohingya menyeberangi sempadan Bangladesh dan berlindung di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar berikutan konflik yang semakin meruncing di Myanmar antara kerajaan junta dan pemberontak, sekali gus menambah beban kepada Bangladesh.

Hossain berkata tekanan lebih besar daripada masyarakat antarabangsa terhadap Myanmar boleh membawa kepada berakhirnya konflik dan mewujudkan keamanan dalam negara itu, sambil menambah bahawa negara-negara jiran boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan semula Myanmar yang memerlukan sokongan semua pihak.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam membawa hasil yang berkekalan menerusi persidangan PBB yang akan diadakan tahun ini mengenai Rohingya dan isu berkaitan minoriti lain. -BERNAMA-ANADOLU

SITI AISHAH MD ISA