JAKARTA, 24 Februari- Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini melancarkan dana kekayaan negara baharu, Daya Anagata Nusantara (Danantara) yang disasarkan mengurus aset melebihi AS$900 bilion dalam usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi terbesar di Asia Tenggara.
Pelancaran dana tersebut dimuktamadkan menerusi dokumen yang ditandatangani Prabowo di Istana Presiden, di sini.
Danantara berasaskan model syarikat pelaburan Temasek milik Singapura dan akan berperanan sebagai badan pengurusan pelaburan strategik negara.
"Saya, sebagai Presiden Republik Indonesia, menandatangani dekri kerajaan mengenai organisasi dan tadbir urus Badan Pengurusan Pelaburan, Danantara," katanya.
Danantara akan mengambil alih pegangan kerajaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan peruntukan awal sebanyak AS$20 bilion, menurut agensi berita negara, Antara.
Bagaimanapun, kerajaan belum menyatakan syarikat mana yang akan diletakkan bawah kawalan dana tersebut.
Prabowo sebelum ini berikrar meningkatkan kadar pertumbuhan tahunan ekonomi daripada lima kepada lapan peratus, selain mengarahkan pemotongan perbelanjaan kerajaan bagi membiayai projek berskala besar yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya.
Dana berkenaan dijangka berperanan sebagai instrumen pelaburan utama negara dan bakal membiayai lebih sedozen projek pada tahun ini, melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui serta pengeluaran makanan.
Danantara merupakan dana kekayaan negara kedua Indonesia selepas Indonesia Investment Authority yang ditubuhkan pada 2021 dan kini mengurus aset bernilai AS$10.5 bilion. -AFP