NEW YORK, 19 Disember - Satu pertiga daripada jumlah penduduk Myanmar atau lebih daripada 18 juta orang, kini memerlukan bantuan kemanusiaan.
Amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin yang menuntut derma sebanyak satu bilion dolar untuk penyaluran bantuan pada tahun depan bagi memenuhi keperluan tersebut.
Situasi kemanusiaan di negara Asia Tenggara itu semakin teruk terjejas disebabkan rampasan kuasa yang berlarutan selama hampir tiga tahun lalu, kata badan global itu.
"Pada 2024, Myanmar berada di jurang krisis kemanusiaan yang semakin meruncing sejak pengambilalihan tentera pada Februari 2021 dengan penduduk awam yang kini hidup dalam ketakutan," menurut laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) yang diterbitkan pada Isnin.
18.6 juta orang yang kini memerlukan bantuan kemanusiaan adalah lebih sejuta berbanding setahun lalu dan 19 kali ganda lebih ramai berbanding pada 2020, sebelum rampasan kuasa berlaku.
"Kanak-kanak menanggung beban krisis dengan 6 juta kanak-kanak memerlukan penjagaan kesihatan dan pendidikan, kekurangan zat makanan dan risiko perlindungan termasuk pengambilan paksa dan tekanan mental," kata koordinator kemanusiaan untuk Myanmar, Marcoluigi Corsi.
Laporan itu menekankan kebimbangan khusus pemindahan besar-besaran, dengan hampir 2.6 juta orang telah diusir keluar dari rumah mereka pada 11 Disember, peningkatan 1.1 juta dalam tempoh sama tahun lepas, termasuk lebih daripada 660,000 orang yang telah dipindahkan pada penghujung Oktober di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara tentera dan pejuang etnik minoriti di utara negara itu.
Lebih memburukkan keadaan, "konflik dan keganasan dijangka menjadi lebih teruk pada 2024," menurut laporan tersebut yang turut mengecam "keganasan tentera secara sistematik terhadap orang awam."
Melihat kepada keadaan yang semakin meruncing itu, OCHA telah meminta agar derma sebanyak $994 juta dapat disalurkan untuk membantu 5.3 juta orang yang telah dikenal pasti sebagai keutamaan untuk bantuan di Myanmar pada tahun 2024.
"Kami tidak mampu mengulangi kekurangan pendanaan kasar yang dilihat pada 2023," apabila hanya 29 peratus daripada pembiayaan yang diperlukan dipenuhi, kata Corsi, sambil menunjukkan bahawa dianggarkan 1.9 juta orang yang telah diberi keutamaan untuk mendapatkan bantuan pada 2023 tidak tercapai.
"Berjuta-juta nyawa dipertaruhkan dan kita semua mesti melakukan segala yang kita mampu untuk mengelakkan Myanmar menjadi kecemasan yang dilupakan," katanya, walaupun majoriti program bantuan antarabangsa PBB masih kekurangan dana.-AFP