TAIPEI, 19 Disember - Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen merakamkan ucapan takziah kepada China hari ini dan menawarkan bantuan selepas gempa bumi mengorbankan lebih 100 orang di pinggir utara dataran tinggi Qinghai-Tibet.
Ketegangan antara Taipei dan Beijing, yang menganggap pulau yang ditadbir secara demokrasi itu sebagai wilayahnya sendiri, telah meningkat dalam tempoh empat tahun lalu, ketika China berusaha untuk menegaskan tuntutan kedaulatannya dengan tekanan politik dan ketenteraan.
Tsai menyampaikan hasrat itu melalui satu kenyataan di platform media sosial X dengan ucapan "takziah ikhlas" beliau kepada semua mereka yang kehilangan orang tersayang.
“Kami mendoakan semua yang terjejas menerima bantuan yang diperlukan, dan kami berharap untuk pemulihan yang cepat. Taiwan bersedia untuk menawarkan bantuan dalam usaha tindak balas bencana,” tambahnya.
Tsai pernah menyampaikan ucapan takziah kepada China sebelum ini untuk bencana, termasuk tahun lalu selepas gempa bumi di wilayah Sichuan.
Taiwan, yang sering mengalami gempa bumi, menghantar pasukan penyelamat ke China pada 2008 selepas gempa bumi besar melanda wilayah Sichuan, mengorbankan hampir 70,000 orang dan menyebabkan kerosakan besar.-REUTERS