fb fb fb fb fb

Belon China dikesan lintasi garisan sempadan buat kali ketiga

FOTO REUTERS

TAIPEI,19 Disember - Belon China dikesan melintasi garisan sempadan yang memisahkan Taiwan daripada China.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, ia merupakan kali ketiga belon berkenaan dikesan memasuki sempadan negara berkenaan.

Belon China menjadi topik hangat pada Februari lalu apabila Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh belon yang digelar sebagai belon pengintip.

Taiwan sebelum ini mengeluarkan laporan pertamanya mengenai belon melintasi garis tengah di Selat Taiwan pada 8 Disember, kemudian sekali lagi minggu ini, apabila ia berkata dua belon dikesan pada Ahad.

Tambah Kementerian Pertahanan Taiwan, belon ketiga dikesan pada pukul 9:09 waktu tempatan sekitar 124 kilometer di barat laut bandar Keelung.

Belon berkenaan dilaporkan berada pada ketinggian kira-kira 15,000 kaki selepas melintasi selat berkenaan.

“Belon itu dikesan menuju ke timur dan hilang pada pukul 11:52 waktu tempatan," tambah kenyataan itu.

Taiwan berada dalam keadaan berjaga-jaga menjelang pilihan raya presiden bulan depan, dengan Taiwan dan Washington memberi amaran kepada Beijing supaya tidak menggunakan sebarang pengaruh bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya berkenaan.

Beijing, yang berikrar untuk merampas Taiwan suatu hari nanti, telah meningkatkan tekanan politik dan ketenteraan sejak Presiden Taiwan Tsai Ing-wen memegang jawatan pada 2016.

Ini termasuk menghantar pesawat perang dan kapal tentera laut di sekitar pulau itu hampir setiap hari; menurut pakar tentera sebagai satu bentuk ancaman.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD